Mek
Mulung merupakan sebuah persembahan tradisi turun temurun bagi masyarakat di
Kampung Baru, Wang Tepus, Jitra, Kedah. Pementasan tradisi ini merangkumi
elemen bunyi-bunyian atau muzik, nyanyian, tarian dan lakonan yang membentuk
sebuah teater tradisional berdiri sendiri seperti Mak Yong, Randai, Bangsawan
dan Menora. Sekitar 10 dan 11 November 2012 yang lalu, satu usaha pemeliharaan
terhadap pementasan tradisi ini telah berlangsung di Studio Tari Utama, Akademi
Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Pementasan ini berupa penilaian
peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi pelajar-pelajar Ijazah Sarjana
Muda tahun 2 (sesi 2011/2012) dalam matapelajaran Teras Akademik ASWARA iaitu
AWA 4083 Teater Tradisional Mek Mulung. Mereka dinilai melalui aspek
pengurusan, lakonan, tarian, nyanyian dan sinografi berdasarkan skrip ‘Mek
Mulung Dewa Muda’. Secara ringkasnya, ‘Dewa Muda’ mengisahkan tentang petanda
dari mimpi yang diperoleh Cik Wang (watak
hero bergelar ‘Dewa Muda’), seterusnya, membawa kepada pertemuannya dengan
puteri jelita bernama Puteri Gunut.
ASWARA mempertaruhkan matapelajaran
Teater Tradisional Mek Mulung sebagai salah satu usaha pemeliharaan terhadap
warisan tradisi. Secara tidak langsung, pelajar diberi pendedahan terhadap
teori dan praktikal berkenaan struktur persembahan, falsafah, sejarah, fungsi
ensemble muzik dan watak-watak dominan
dalam teater tradisional tersebut. Setelah pembelajaran selesai, pelajar akan
dinilai pada setiap hujung semester. Konsep penilaian dalam sesebuah
persembahan teater tradisional seperti yang diwujudkan oleh ASWARA memberi satu
hasil seni yang berbeza berbanding dengan tahap profesional ; individu yang
mempunyai kemahiran tinggi dan skill yang berkualiti terhadap sesuatu bidang
kritikal. Hal ini merujuk kepada keperluan peringkat siswazah yang hanya
menitikberatkan penambahbaikan melalui setiap kelas latihan praktikal yang
diadakan sebelum menuju ke hari pementasan sebenar sebagai satu penilaian akhir
kepada pelajar terhadap keseluruhan pembelajaran dan persembahan. Sepanjang
pembelajaran matapelajaran Mek Mulung berlangsung, pelajar Ijazah Sarjana Muda
tahun 2 (sesi 2011/2012) dikehendaki menghadiri setiap kelas latihan berbentuk
inisiatif membina struktur sebuah kumpulan yang bekerjasama. Kelas ini
merangkumi latihan lakonan, tarian dan nyanyian untuk pelajar yang dinilai dari
aspek berkenaan serta proses asas bagi pelajar yang dinilai dari aspek pengurusan
dan sinografi. Berdasarkan latihan intensif yang telah dijalankan, permintaan
persembahan berada ditahap memuaskan kerana terdapat beberapa estetika penting
dalam sesebuah lakonan berkerekter diketepikan seperti watak puteri atau Mek Seni yang digalas oleh Noor Aine
Yusof ‘dibunuh’ dengan beberapa perkataan yang tidak manis dari watak-watak Inang. Walhal, watak tradisional seperti
Mek Senik perlu diangkat selayaknya.
Walaubagaimanapun, Noor Aine Yusof berjaya mencuri pandangan penonton melalui
nyanyian yang mantap dan tarian gemalai persis puteri kayangan. Selain daripada
itu, penghayatan watak yang lemah jelas kelihatan, terutamanya watak-watak Awang. Meskipun watak Awang menghiburkan, masih terdapat
beberapa aspek yang perlu dititikberatkan seperti tenaga pelakon, lontaran
suara dan pengucapan dialog yang punch
time. Mek Mulung ‘Dewa Muda’ merupakan skrip tradisional yang santai tetapi
sayang skrip ini hanya mampu diberi pentas tahap studio. Oleh kerana kemudahan
persembahan berbentuk studio yang terhad, pelajar tidak dapat meneroka dan
berkarya dengan bebas. Penggunaan material seperti lyno, kepingan kayu berbentuk teratak sebuah rumah melayu lama
sebagai set dominan dan beberapa platform
yang disusun seperti pentas kecil untuk pemuzik menjadi susunan set yang serba
sederhana kepada persembahan ini. Seterusnya, kerjasama antara tenaga produksi
dan barisan pelakon dalam merealisasikan persembahan patut diberi markah penuh.
Hal ini kerana persembahan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah
teknikal yang teruk, plot penceritaan disampaikan dengan baik oleh barisan
pelakon dan pemilihan set dan prop yang fleksible.
Dari aspek struktur persembahan, para pelajar yang dinilai berjaya
membangkitkan nilai kemelayuan dalam persembahan. Salah satunya, penggunaan
tikar sebagai alas duduk kepada penonton sepanjang persembahan berlangsung.
Ianya tampak klise, tetapi sebenarnya
memberi satu keselesaan dan menimbulkan rasa back to hometown, seperti konsep persembahan tradisional terdahulu.
Tambahan, ucap tetap dari watak utama seperti Mek Senik dan Cik Wang
yang mengingatkan kita kepada keturunan raja-raja melayu yang perlu dihormati,
memberi satu pandangan di mana penonton yang hadir terasa seperti rakyat
jelata.
Secara keseluruhannya, pementasan
Teater Tradisional Mek Mulung ‘Dewa Muda’ merupakan usaha murni untuk
merealisasikan peribahasa melayu ‘tak lapuk dek panas, tak lekang dek hujan’. Meskipun,
pementasan ini hanya tahap penilaian peringkat siswazah tetapi barisan pelajar
berjaya menyambut usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam
usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah warisan bangsa.
Barisan pelajar yang dinilai dari pelbagai aspek (pengurusan, lakonan, sinografi)
Noor Aine Yusof sebagai Mek Senik
(sumber dari facebook.com)